#JEJAKALUMNI Minggu 4: Ahmad Fuad Jamaluddin (SPM07)

6/01/2015 11:29:00 am 0 Comments

Assalamualaikum wbt.

Sudah menjadi lumrah budaya di Sepintar selepas sesi persekolahan pertengahan tahun, pilihan raya untuk memilih Ketua Umum, Penolong Ketua Umum, Exco Badar dan lain-lain jawatan akan diadakan. Budaya pilihan raya ini acap kali akan menonjolkan calon-calon yang mempunyai kriteria dan personaliti yang tersendiri. Memandangkan para calon juga akan berkempen untuk memenangi hati para pelajar dan para guru sebagai pengundi, pada waktu inilah pelbagai manifesto yang menarik akan dikeluarkan. #JEJAKALUMNI pada minggu ini akan menceritakan mengenai satu susuk personaliti yang telah memenangi pilihanraya tahun 2006 jesteru telah dilantik sebagai Ketua Umum bagi sesi 06/07. Beliau yang dimaksudkan ialah saudara

Ahmad Fuad bin Jamaludin. 

Beliau yang lebih mesra dan lebih dikenali dengan panggilan 'Beto'. Dan nama tersebut juga masih digunakan hingga kini di kalangan rakan-rakan.


Gambar ketika beliau di Sepintar. Agaknya dimana gambar ini diambil? 
Mari kita kenali serba sedikit tentang diri beliau.

  •          Nama penuh : Ahmad Fuad bin Jamaludin
  •           Nama panggilan di Sepintar : Beto
  •           Asal : Taman Melawati, Hulu Klang, Kuala Lumpur
  •           Tarikh lahir : 18/1/1990
  •           Tahun masuk Sepintar/ tahun meninggalkan Sepintar : 2003 - 2007
  •           Jawatan di sepintar : Ketua Umum 2006/2007
  •           Kelas/dorm/ rumah sukan : 1JF – 2JM – 3JM – 4JF – 5JK,  Dorm 6 – M3 – M2 – Exco Rumah Merah  
  •          Status   : Bujang
  •           Kerja   : Project Engineer @ Shapadu Energy & Engineering Sdn Bhd (Shapadu Corporation Sdn Bhd)


Beto pada hari ini
Setelah tamat SPM, beliau telah melanjutkan pelajaran di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM) dan seterusnya meneruskan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Elektrik-Elektronik di Universiti Teknologi Malaysia. Dan kini beliau telah sebagai seorang jurutera dan masih aktif dalam sukan ragbi dan futsal. Beliau selalu melibatkan diri dalam aktiviti sukan yang dianjurkan oleh AIRA seperti liga ragbi dan futsal.

Apabila ditanyakan soalan mengenai perkara yang paling dirindui di Sepintar, jawapan beliau amat luar biasa. Hanya yang belajar di Sepintar boleh merasakan akan perihal tersebut. Perkara yang paling dirindui beliau ialah Nasi Lemak jualan Ustaz Kamisan dan Burger/Hot Dog/Roti Telur jualan Ustaz Kosim setiap malam selepas Prep Malam di mana pelajar lelaki akan beratur di pintu hadapan rumah warden dan pelajar perempuan pula akan beratur di pintu dapur demi mendapatkan bekalan makanan  tersebut. Dan pasti ramai alumni yang membaca entri ini akan berasa terliur apabila ingat kembali akan nasi lemak dan burger Ustaz Kamisan dan Ustaz Kosim. Lebih-lebih lagi kini Ustaz Kosim tidak lagi tinggal di dalam rumah warden di asrama putera. Pastinya resepi kesedapan makanan yang dijual tersebut adalah kasih sayang seorang guru kepada anak muridnya. 

Dan sepanjang beliau menjadi Ketua Umum di Sepintar, beliau telah menunjukkan sikap tenang dan bijak dalam menguruskan hal-hal pelajar. Beliau juga merasakan bahawa tanggungjawab sebagai Ketua Umum adalah satu kenangan yang paling bermakna buat beliau. "Terima kasih warga SEPINTAR kerana memberikan kerjasama", kata beliau. Pastinya banyak perkara yang dipelajari sewaktu memegang jawatan tersebut. Bagi mereka yang pernah memegang jawatan penting seperti ini, pasti tahu betapa susahnya untuk bertindak sebagai orang tengah antara pihak guru dan pelajar. Tahniah dan terima kasih diucapkan atas jasa beliau di Sepintar. 

"Sediakan diri dari segi rohani, mental dan jasmani untuk dunia luar selepas sekolah. Itu paling penting. Bagi saya, pencapaian pelajaran selepas itu." 

 Itulah kata-kata nasihat beliau buat adik-adik di Sepintar. UPSR, PMR, SPM hanyalah latihan kecil untuk menghadapi peperiksaan yang lebih penting selepas itu. Kurang berjaya dalam SPM tidak bermakna gelaplah masa hadapan dan cemerlang SPM juga tidak bermakna terus cerahlah masa hadapan. Zaman sekolah tidak sama dengan zaman universiti, zaman universiti pula tidak sama dengan zaman pekerjaan. Hidup ini harus diteruskan walau dengan apa cara sekalipun. 

airasepintar

Portal AIRA adalah salah satu medium penyampaian maklumat berkaitan alumni dan segala aktiviti berkaitan Alumni Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang (AIRA). Mari bersama kita kembali menyumbang ke sekolah yang pernah membentuk kita sehingga siapa kita sekarang secara langsung mahu pun tidak langsung.

0 comments: