#JEJAKALUMNI Minggu 2: Muhammad Imran Mustafa bin Abdul Khudus (SPM04)

5/15/2015 03:10:00 pm 0 Comments

Assalamualaikum wbt.

Tahun 2004 merupakan tahun pertama SEPINTAR berhadapan dengan Peperiksaan SPM. Tahun pertama ini amat penting untuk melihat dan membuat penanda aras dimana tahap kecemerlangan SEPINTAR berbanding dengan sekolah-sekolah berasrama penuh yang lain. Sungguhpun SEPINTAR diibaratkan seperti adik bongsu ketika itu, tetapi pencapaian yang dikecapi dalam SPM04 amat membanggakan dan mengejutkan semua apabila SEPINTAR mendapat tempat ketiga dalam SBP seluruh Malaysia. Pasti kenangan terindah ini tiada siapa yang mampu melupakannya dan menjadikan junior SEPINTAR ketika itu tertekan untuk meningkatkan dan meneruskan kecemerlangan sekolah.  

#JEJAKALUMNI minggu kedua ini akan menceritakan tentang pelajar SPM04 yang telah menunjukkan keputusan yang terbaik dalam SPM 2004 iaitu saudara 
Muhammad Imran Mustafa bin Abdul Khudus. 
Saudara Imran telah mendapat 11A1 dan 1A2 dalam SPM04 justeru meletakkan beliau sebagai pelajar terbaik SPM04 SEPINTAR. 


Gambar terkini Imran Mustafa bersama isterinya 
Mari kita kenali sedikit biodata diri beliau.
    •           Nama penuh : Muhammad Imran Mustafa bin Abdul Khudus
    •      Nama panggilan di Sepintar : Imran
    •      Asal : Bandar Baru Bangi, Selangor
    •      Tarikh lahir : 3 Feb 1988
    •      Batch sepintar : 2003/2004
    •      Jawatan di sepintar : Setiausaha Pimpinan Pelajar
    •      Kelas/dorm/ rumah sukan :4JF, 5JF, Dorm Exco Rumah hijau
    •      Status : Berkahwin

Selepas SPM, beliau telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajarannya dalam bidang Sains Fizik di Universiti Imperial College London. Setelah tamat pejaran peringkat Ijazah Muda, beliau menyambung pelajarannya di peringkat Ijazah dalam bidang Fizik di University College London dan kini beliau dalam proses menamatkan pengajiannya pada peringkat tertinggi iaitu PhD dalam bidang Optoelectronic di Universiti Southampton. Semoga beliau akan berjaya menamatkan pengajiannya dengan cemerlang dan sebagai Alumni SEPINTAR, kami amat berbangga dengan pencapaian beliau dalam bidang akademik. 



Sebagai batch yang pertama meninggalkan SEPINTAR 11 tahun yang lalu, beliau amat merindui  persahabatan dalam batch beliau dan juga bersembang santai dengan cikgu-cikgu di bilik guru dan di makmal. Berborak dengan guru-guru pastinya antara perkara yang amat dirindui oleh semua alumni. Boleh dikatakan hubungan guru dan murid di SEPINTAR amat rapat. Tiada siapa mampu menafikannya. 


Saudara Imran juga tidak mampu melupakan pengalaman beliau ketika perhimpunan rasmi di sekolah. Beliau yang juga merupakan orang penting disebalik tabir Dewan Al-Aqsa ketika di sekolah, telah dikejutkan oleh Ustaz Kamilen (GPK 1 Sepintar) ketika beliau tertidur di atas sofa di belakang dewan sepanjang perhimpunan rasmi diadakan. Sebagai seorang pelajar, pemimpin pelajar, dan juga AJK dewan sekolah pastinya beliau letih dan kurang tidur. Beliau mengatakan bahawa pengalaman dikejutkan oleh Ustaz Kamilen adalah satu pengalaman yang paling bermakna bagi beliau. 

Beliau ada meninggalkan sedikit nasihat buat adik-adik Sepintar, mari kita hayati nasihat beliau 

" Proses pencarian ilmu bermula dari dalam diri, dan terzahir pada diri. Pencarian ilmu tiada terhenti di pintu kelas ataupun masjid, dan tiada yang formal ataupun tidak formal dalam menuntut ilmu. Jangan takut untuk menentang arus dengan membaca, kerana realitinya budaya membaca hampir-hampir tiada dalam masyarakat kita. Jangan juga tertipu dengan ungkapan `aku tiada masa’, kerana itulah alasan-sampai-mati yang diberikan oleh semua. Sering diungkapkan bahawa ilmu itu asas agama; ironi sekali apabila pelajar sendiri sangat kurang membaca!"


Buku dan saudara Imran amat sinonim sekali. Pastinya itulah tips utama kecemerlangan beliau. 

airasepintar

Portal AIRA adalah salah satu medium penyampaian maklumat berkaitan alumni dan segala aktiviti berkaitan Alumni Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang (AIRA). Mari bersama kita kembali menyumbang ke sekolah yang pernah membentuk kita sehingga siapa kita sekarang secara langsung mahu pun tidak langsung.

0 comments: